logo
Copyright Qode Interactive 2016
Monad International | APA YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAI I-LINDUNG
813
post-template-default,single,single-post,postid-813,single-format-standard,qode-quick-links-1.0,ajax_fade,page_not_loaded,,qode_grid_1300,side_area_uncovered_from_content,footer_responsive_adv,qode-content-sidebar-responsive,qode-theme-ver-11.0,qode-theme-bridge,wpb-js-composer js-comp-ver-5.1.1,vc_responsive
 

APA YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAI I-LINDUNG

APA YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAI I-LINDUNG

Oleh Sofina Johari

Photo by Kindel Media @ Pexels
Baru-baru ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melancarkan platform i-Lindung di portal dalam taliannya, i-Akaun. Platform ini memberikan kemudahan kepada ahli pencarum KWSP yang mempunyai i-Akaun untuk mendapatkan produk insurans atau takaful pada harga yang sangat berpatutan. Platform ini dilancarkan bagi melebarkan jaringan perlindungan warganegara Malaysia, sejajar dengan aspirasi KWSP untuk mengukuhkan perlindungan sosial di Malaysia.

Produk-produk insurans dan takaful di bawah i-Lindung ini berfungsi untuk melindungi pendapatan ahli pencarum daripada terjejas sekiranya diri mereka ditimpa musibah. Sebagai contoh, ahli pencarum yang membeli produk perlindungan hayat akan diberikan faedah sekiranya ahli tersebut hilang upaya kekal yang mengakibatkan beliau tidak dapat bekerja lagi. Sekiranya ahli tersebut meninggal dunia pula, faedah tersebut boleh diberikan kepada waris ahli bagi kelangsungan kehidupan mereka. Oleh itu, faedah yang diterima melalui produk perlindungan hayat ini dapat menggantikan pendapatan yang hilang akibat kematian atau hilang upaya kekal seseorang ahli, buat sementara waktu. Selain daripada perlindungan hayat, i-Lindung juga mempunyai pilihan perlindungan penyakit kritikal, yang mana ahli pencarum akan diberi faedah sekiranya di diagnosis dengan sebarang penyakit kritikal yang telah disenaraikan. Perlindungan sebegini dapat mengurangkan beban kewangan yang selalunya terkait dengan penyakit kritikal seperti kencing manis dan sakit jantung.

Memandangkan sasaran i-Lindung secara amnya adalah mereka yang masih belum ada sebarang bentuk perlindungan, produk-produk yang tersenarai di dalam platform ini dijanjikan untuk berharga sangat mampu milik dan sesuai untuk semua ahli bagi mendapatkan perlindungan minima. Oleh sebab itu, tempoh perlindungan bagi setiap pembelian cuma setahun, yang mana polisi yang dibeli harus diperbaharui secara berkala. Hal ini sangat berbeza dengan penjualan kebanyakan perlindungan hayat di luar sana yang berjangka masa berpuluh tahun, memberi impak kepada kadar premium bulanan yang harus dibayar. Sehubungan dengan itu, pembayaran premium produk yang dibeli di i-Lindung adalah melalui potongan jumlah Akaun 2 KWSP. Maka, sebarang pembelian insurans atau takaful di dalam i-Lindung tidak memerlukan kos secara terus daripada ahli yang membeli. Cukup sekadar memastikan baki Akaun 2 melebihi RM100 agar premium selama setahun dapat dibayar. Tiada had umur juga dikenakan untuk membeli produk di bawah i-Lindung, serta tiada sebarang pemeriksaan kesihatan perlu dijalankan sebelum produk dibeli.

Satu lagi ciri unik pada i-Lindung adalah segala pembelian produk insurans dan takaful yang dilakukan adalah secara layan diri di portal i-Akaun, tanpa memerlukan khidmat mana-mana agen sebagai orang tengah. Penjualan daripada syarikat insurans dan pengendali takaful secara terus kepada pembeli mampu mempercepatkan proses perlindungan. Tidak seperti pembelian melalui agen, pembeli produk i-Lindung tidak perlu menunggu sebut harga untuk disediakan oleh agen, menetapkan janji temu dengan agen, atau mengasingkan masa untuk mengisi borang yang banyak. i-Lindung memberi kemudahan yang mana semua proses ini dapat dilakukan dalam beberapa klik di dalam platform mereka. Setelah itu, polisi perlindungan yang dibeli akan dihantar ke e-mel ahli dalam masa beberapa hari bekerja. Ahli juga boleh buat perbandingan di antara produk yang disediakan oleh pelbagai syarikat insurans dan takaful sebelum membuat pilihan. Antara syarikat insurans konvensional yang menyenaraikan produknya di dalam i-Lindung ialah Prudential Assurance Malaysia Berhad dan Etiqa Life Insurance Berhad. Manakala pengendali takaful Islamik yang tersenarai ialah Prudential BSN Takaful Berhad, Etiqa Family Takaful Berhad, dan FWD Takaful Berhad.

Jikalau sebelum ini perlindungan swasta insurans dan takaful merupakan sebuah bentuk kemewahan yang hanya dapat diperoleh oleh golongan yang berkemampuan, KWSP memastikan hal ini tidak lagi sedemikian. Golongan berpendapatan rendah kini juga layak untuk mendapat perlindungan swasta melalui platform i-Lindung. Sederhana, tetapi cukup untuk melestarikan kehidupan.

Sofina Johari ialah Perancang Kewangan Syariah Berdaftar (Shariah RFP) dengan UOB Kay Hian Wealth Advisors

No Comments

Post A Comment