logo
Copyright Qode Interactive 2016
Monad International | Langkah berjaga-jaga kendiri bagi mengatasi scammer
932
post-template-default,single,single-post,postid-932,single-format-standard,qode-quick-links-1.0,ajax_fade,page_not_loaded,,qode_grid_1300,side_area_uncovered_from_content,footer_responsive_adv,qode-content-sidebar-responsive,qode-theme-ver-11.0,qode-theme-bridge,wpb-js-composer js-comp-ver-5.1.1,vc_responsive
 

Langkah berjaga-jaga kendiri bagi mengatasi scammer

Langkah berjaga-jaga kendiri bagi mengatasi scammer

Oleh Sofina Johari, Shariah RFP

Dinihari, sana sini orang kongsikan kes penipuan atau ‘scam’ dan ‘fraud’ di media sosial. Jumlah yang terlibat pun bukannya calang-calang. Sehingga mencecah berpuluh, malahan beratus ribu. Ketirisan keselamatan siber di negara kita menjadikan ‘scammers’ dan ‘fraudsters’ semakin galak bekerja, apatah lagi apabila berjaya memperoleh keuntungan yang sangat besar. Kalau dahulu mereka gunakan helah dan taktik yang menyebabkan mangsa tertipu dengan memberi ID dan kata kunci ataupun nombor TAC. Sekarang, mereka mampu memintas langkah-langkah keselamatan yang ada tanpa pengetahuan kita.

Malahan, transaksi tanpa kebenaran ini berjaya membolosi ribuan ringgit dalam transaksi yang berkali-kali tanpa kita sedar. Lebih parah lagi apabila sejurus kita mendapat tahu bahawa diri telah menjadi mangsa, walaupun mangsa telah membuat laporan polis dan menghubungi pihak bank – kebanyakan mangsa kes-kes sebegini tidak berjaya mendapat semula wang mereka yang telah hilang. Ini adalah kerana kelicikan penjenayah ini dalam menerobos sistem perbankan.

Siapa yang tak sedih apabila wang hasil titik peluh kita memerah keringat hilang begitu sahaja. Apatah lagi selama ini kita sangka wang kita selamat di dalam akaun bank kita. Sudah tentu kita mengharapkan pihak berkuasa agar bertindak dengan lebih cepat dan cekap untuk membanteras jenayah sebegini. Akan tetapi, kita juga boleh mengambil beberapa langkah aktif kendiri bagi memastikan kita tidak terjatuh dalam perangkap penyeleweng-penyeleweng ini.

Letak duit yang banyak di dalam akaun pelaburan, bukan di dalam akaun bank

Simpan wang di dalam akaun bank cukup sekadar untuk urusan harian kita dalam masa sebulan. Selebihnya boleh dipindah masuk ke akaun pelaburan seperti Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) atau Tabung Haji (TH). Sekarang nak masukkan duit ke akaun ASNB dan TH sangat mudah. Semudah menghantar duit ke akaun bank lain. Tak perlu ke bank atau menggunakan agen, cukup sekadar di portal atau aplikasi perbankan dalam talian.

Antara kebaikan meletakkan wang di dalam akaun pelaburan berbanding akaun simpanan bank:

  1. Kalau hilang semua duit dalam akaun sekalipun, yang lebur hanya beberapa ratus sahaja yang kita ketepikan untuk perbelanjaan bulan tersebut. Itu had maksimum yang penjenayah tersebut boleh curi. Yang lain masih terselamat.
  2. Banyak proses yang diperlukan untuk mengeluarkan wang daripada akaun pelaburan berbanding akaun simpanan. Hal ini akan menyukarkan orang luar untuk mencuri duit di dalam akaun tersebut. Ia juga dapat memupuk sikap kurang berbelanja di dalam diri. Hanya keluarkan duit bila betul-betul perlu sahaja.
  3. Wang tersebut menjana pendapatan pasif dalam bentuk dividen dan/atau faedah. Sebagai perbandingan, wang yang diletakkan di dalam akaun TH dan ASNB memberikan pulangan lebih kurang 3-5% setahun, manakala wang yang diletakkan di dalam akaun simpanan bank akan mendapat pulangan sekitar 0.25% setahun.

Dengan kadar inflasi yang tinggi di negara ini, sememangnya wang yang disimpan di dalam akaun simpanan bank selama bertahun-tahun akan susut nilainya. Jadi, bukan sahaja kita dapat melindungi duit kita dari di seleweng, ia juga menjadi kalis inflasi.

Menggunakan kad kredit, bukan kad debit, untuk perbelanjaan online dan di terminal kad fizikal

Perbezaan utama kad kredit dengan kad debit ialah duit yang dibelanjakan itu adalah duit kredit, bukan duit sebenar. Maksudnya apa? Apabila kita berbelanja menggunakan kad debit, kad tersebut merupakan sebuah medium untuk menyalurkan duit atau ‘cash’ yang sedia ada dalam akaun kita. Oleh itu, apabila transaksi tanpa kebenaran berlaku, duit yang tersalur keluar adalah cash yang sebenar. Hal ini berlainan dengan kad kredit. Duit yang dibelanjakan melalui kad kredit bukanlah cash, tetapi fasiliti kredit yang diberikan oleh bank, yakni pinjaman sementara yang diberikan oleh bank. Jadi, apa bezanya?

Jikalau berlaku penyelewengan terhadap cash sebenar di dalam akaun, amat sukar untuk pihak bank menzahirkan semula cash tersebut, melainkan bank menerima wang pada jumlah yang sama untuk dipulangkan. Sementara itu, jika penyelewengan dilakukan pada fasiliti kredit, tiada unsur cash sebenar yang terdapat di dalam transaksi tersebut. Maka, pihak bank lebih mudah untuk mengembalikan wang tersebut dalam bentuk kredit yang sama jumlahnya untuk digunakan di masa hadapan.

Aneh bukan? Secara fizikal, kadnya sama. Aktiviti yang dilakukan juga sama. Tapi hanya kerana instrumen wang yang mendasari transaksi tersebut adalah berbeza, menjadikan wang yang terseleweng itu dapat dikembalikan atau tidak.

Meletakkan had yang rendah untuk transaksi akaun seharian

Transaksi besar-besaran dapat dilakukan oleh penyeleweng apabila had transaksi akaun tersebut diletak pada amaun yang tinggi, contohnya RM 10,000 sehari. Kadangkala kita sendiri tak tahu apa had transaksi yang telah ditetapkan untuk akaun bank kita kerana ia adalah nilai lalai atau ‘default setting’. Seelok-eloknya, kita tukar had tersebut kepada amaun yang kita biasa belanjakan dalam masa sehari. Sama ada beberapa ratus ringgit atau RM1,000. Jikalau ada transaksi besar yang hendak kita buat, kita boleh tukar semula tetapan kita agar transaksi tersebut dapat dilakukan. Tapi untuk hari biasa, sekurang-kurangnya kalau duit dalam akaun hendak dicuri, agak sukar bagi penyeleweng tersebut. Dia perlu melakukan banyak transaksi dalam masa banyak hari untuk mengaut semua duit dalam akaun kita.

Rajinkan diri menyemak penyata bank setiap 2-3 hari

Cara paling mudah untuk kita mengesan sama ada duit kita telah di seleweng atau tidak adalah dengan menyemak penyata bank kita dengan kerap. Kenal pasti transaksi yang tertulis dalam penyata itu adalah transaksi sebenar yang kita telah lakukan. Apabila terdapat sebarang pengeluaran duit yang kita tidak pasti, kita boleh terus menghubungi pihak bank untuk menyekat kad tersebut serta merta. Penyeleweng suka mengambil kesempatan di atas kealpaan kita. Bila kita jarang semak penyata kita, kita memberi ruang untuk penjenayah siber ini untuk menyelinap masuk dan mengambil apa sahaja yang sempat dia ambil, tanpa disedari.

Jenayah siber pastinya perlu dibendung tetapi sementara menunggu pihak yang tidak bertanggungjawab ini dikenakan tindakan, sewajarnya kita mempersiapkan diri dan keluarga agar tidak menjadi mangsa.

Sofina Johari ialah Perancang Kewangan Syariah Berdaftar (Shariah RFP) dengan UOB Kay Hian Wealth Advisors

No Comments

Post A Comment